Wednesday, March 17, 2010

Scomi jual operasi kedai mesin RM363 juta

KUALA LUMPUR 17 Mac 2010 - Scomi Engineering Bhd., (Scomi Engineering) hari ini mengumumkan penjualan operasi perniagaan kedai mesin di bawah Scomi OMS Oilfiled Services Pte. Ltd. dan Scomi OMS Holdings sdn. Bhd., kepada syarikat senaraian asing pada harga AS$110 juta (RM363 juta).

Scomi Engineering merupakan anak syarikat Scomi Group.

Scomi OMS, cabang operasi kejuruteraan tenaga Scomi Engineering mempunyai serangkaian 10 kedai mesin di tujuh negara.

Scomi Engineering dalam kenyataannya di sini berkata, penjualan itu membolehkannya menumpukan perhatian penuh kepada aktiviti terasnya iaitu penyedia penyelesaian pengangkutan bandar menggunakan monorel.

"Pelaksanaan korporat ini adalah selari dengan fokus kami untuk menjadi penyedia perkhidmatan pengangkutan terutamanya monorel dan selepas penjualan ini Scomi Engineering akan menumpukan kepada aktiviti terasnya, mengukuhkan inisiatif penyelidikan dan pembangunan serta melabur dalam teknologi baru untuk produk pengangkutan awam," kata Presiden Scomi Engineering, Syahrunizam Samsudin.

Scomi Engineering pada Januari lalu telah menghantar monorel pertama ke Mumbai dan mendapat maklum balas yang baik. Syarikat itu kini dalam proses menghantar set pertama tren mengandungi empat gerabak monorel ke Mumbai pada pertengahan tahun ini.

Bergerak ke depan, Scomi Engineering sedang memasarkan sistem monorelnya ke Sao Paolo dan Rio De Janeirio Brazil.

Melalui kerjasama rakan perniagaan CR Almeida Sa Engenharia De Obras (CR Almeida), Scomi Engineeering telah disenarai pendek sebagai salah sebuah satu daripada dua konsortium untuk menjalankan projek monorel di Sao Paolo bernilai AS$1.7 bilion (RM5.61 bilion).

Scomi Engineering bersama-sama CR Almeida merupakan antara empat pembida yang menyerahkan tender untuk projek monorel sepanjang 23.9 kilometer yang dikenali projek monorel Expresso Tiradentes.

"Sebagai antara dua pembida terakhir untuk projek Expresso Tiradentes merupakan satu penghargaan dan kejayaan terbesar kami dan ia merupakan pengiktirafan dan penerimaan teknologi Scomi di peringkat dunia," kata Syahrunizam lagi.

No comments:

Post a Comment