Tuesday, March 30, 2010

Giant buka 4 cawangan di Sarawak

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/03/31
Pasar raya dijangka mula beroperasi tahun depan

GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, pengendali Pasar Raya Giant di Malaysia, merancang membuka empat cawangan di Sarawak membabitkan pelaburan kira-kira RM12 juta bagi setiap cawangan.
Ketua Pegawai Operasi GCH Retail, Tom Herriott, berkata dua daripadanya iaitu di Sibu dan Giant Permy Mall, Miri sudah memperoleh kelulusan pihak berkuasa tempatan dan kini dalam pembinaan serta dijangka beroperasi tahun depan. Katanya, syarikat juga kini mengenal pasti kawasan berpotensi untuk membuka dua lagi cawangan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kemungkinan di Kuching, namun ia bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa dan kajian terhadap potensi kawasan terbabit.

“Sehingga kini, kami memiliki 122 pasar raya besar di seluruh negara, justeru pembukaan empat cawangan di Sarawak hanya memberi sumbangan kecil kepada pendapatan syarikat.

“Apa yang kami harapkan pembukaan cawangan di Sarawak memberi keluasan liputan pasar raya untuk pengguna di Malaysia,” katanya selepas memeterai perjanjian penyewaan dengan Naim Holdings Bhd (Naim) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menandatangani perjanjian bagi pihak GCH Retail, manakala Naim diwakili Pengerusinya, Datuk Abdul Hamed Sepawi.

Menerusi perjanjian untuk tempoh 15 tahun itu, GCH Retail menyewa 62,000 kaki persegi daripada kawasan sewaan Permy Mall di Bandar Baru Permyjaya bagi pembinaan Pasar Raya Giant pertama dan terbesar di Miri.

Permy Mall yang berkeluasan 269,000 kaki persegi itu mempunyai 159,000 kaki persegi kawasan sewaan perniagaan dan kira-kira 128 kedai untuk disewa.

Sementara itu, Abdul Hamed berkata, pemilihan Bandar Baru Permyjaya berikutan lokasinya strategik di tengah laluan antara bandar Miri dan Brunei.

Katanya, dengan jarak 15 minit dari bandar Miri dan 20 minit dari pintu masuk Brunei, ia memberi kelebihan kepada peniaga serta pelabur luar memperoleh pelanggan di kalangan rakyat tempatan dan negara jiran itu.

“Selain 50,000 penduduk Permyjaya, minat pelabur turut dirangsang pertambahan rakyat Brunei yang berbelanja di Miri,” katanya.

No comments:

Post a Comment