Sunday, March 14, 2010

Takaful Malaysia lancar tiga skim pelaburan

2010/03/15
TAKAFUL Malaysia melancarkan tiga skim pelaburan berlandaskan Syariah iaitu Takaful myInvest, myGraduan dan myGemilang yang ditawarkan untuk pasaran golongan khusus dan tersendiri.

Pengenalan produk berkenaan memperluaskan lagi segmen takaful syarikat itu, meliputi keperluan tiga peringkat pelanggannya iaitu awal dewasa, keluarga dan golongan pesara.
Takaful myInvest adalah pelan rangkaian pelaburan yang ditawarkan bagi memenuhi keperluan perancangan kewangan golongan awal dewasa dengan menggabungkan pelan perlindungan dan pelaburan. Takaful myGraduan pula, khusus bagi memenuhi keperluan keluarga untuk dana pendidikan anak-anak mereka ketika melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, pengenalan Takaful myGemilang pula dikenali sebagai perlindungan terbaru yang ditawarkan khusus kepada golongan pesara.

Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Hassan Kamil, berkata kesemua pelan baru itu diperkenalkan sebagai langkah untuk meningkatkan sumbangan premium takaful kepada keuntungan syarikat tahun ini.

Katanya, menerusi ketiga-tiga produk baru itu, pihaknya mensasarkan untuk meraih sumbangan premium RM20 juta sepanjang tahun ini, disokong langkah syarikat meningkatkan jumlah ejennya di seluruh negara kepada 1,500 berbanding 250 yang berdaftar dengannya ketika ini.

No comments:

Post a Comment