Sunday, March 14, 2010

Permaju ambil alih 70% Hardie Development

KUALA LUMPUR 14 Mac 2010 - Permaju Industries Bhd. merancang mengambil alih 70 peratus kepentingan dalam Hardie Development Sdn. Bhd. (Hardie) dengan harga RM33.6 juta.

Kumpulan itu menandatangani perjanjian jual beli dengan dua penjual, Datin Pang Fook Kyun, dan Sim Men Kin @ Andrew Sim bagi mempermudah pembelian itu.

Kepentingan ekuiti sebanyak 70 peratus itu adalah bersamaan dengan 70 saham biasa bernilai RM1 setiap satu dalam Hardie, kata Permaju dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangan pengambilalihan itu akan memberikan peluang kepada Permaju untuk mempelbagai kegiatan perniagaannya bagi menceburi pembangunan harta, kata kumpulan itu.

Ia juga akan mempertingkat keuntungan keseluruhan kumpulan itu melalui Hardie yang akan menjadi anak syarikat permaju itu selepas selesainya pengambilalihan itu, katanya.

Harga sebanyak RM33.6 juta yang akan dibayar bagi pembelian itu ditetapkan selepas mengambil kira sebidang tanah hak milik pajakan di Sepangar, Kota Kinabalu, bernilai RM64.6 juta pada 22 Disember 2009.

"Balasan bagi belian itu akan dibiayai melalui tunai, sebahagiannya melalui dana janaan dalaman dan sebahagian daripada pinjaman," kata Permaju.

No comments:

Post a Comment