Sunday, March 14, 2010

Astro Entertainment ke luar negara pasar kandungan tempatan

KUALA LUMPUR 14 Mac 2010 - Astro Entertainment Sdn. Bhd. (Astro Entertainment) akan melebarkan sayap ke luar negara terutama di Timur Tengah dengan memasarkan kandungan tempatan di peringkat antarabangsa.

Astro Entertainment merupakan anak syarikat milik penuh Astro All Asia Networks Plc. (Astro) yang bertanggungjawab membangunkan kandungan tempatan, mempakejkan saluran, menerbitkan rancangan untuk Astro.

Pengarah Eksekutifnya, Zainir Aminullah berkata, setakat ini mereka telah pun memasarkan kandungan kepada tiga saluran di Singapura di bawah platform MIOTv dan satu saluran di Vietnam untuk drama.

''Kami terus mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk di Timur Tengah dan pasaran-pasaran baru yang mempunyai potensi untuk kandungan tempatan dipasarkan.

''Di Singapura sahaja maklum balas positif telah diterima ekoran mereka berpuas hati dengan kualiti kandungan sesuai dengan masyarakat di sana," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Zainir, Astro Entertainment mempunyai strategi yang kukuh dan memahami kehendak pelanggan dengan sebanyak mana yang mereka mampu untuk tontoni.

''Kami telah menjalankan penyelidikan khusus dalam memastikan kehendak pelanggan dan penonton dapat dipenuhi. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Astro Entertainment telah menyediakan saluran mengikut segmen khusus bagi memenuhi kehendak tersebut.

''Sebagai contoh kami mempunyai dua saluran hiburan umum iaitu Ria dan Prima, saluran berita Awani, saluran Citra untuk filem, Ceria untuk kanak-kanak dan saluran Warna untuk komedi dan sitkom," katanya.

Bergerak kehadapan, Zainir berkata, penyelidikan kami adalah lebih kehadapan dan mereka terus melakukannya supaya kandungan tersebut memenuhi kehendak tempatan dan berpotensi untuk dieksport.

''Di pasaran antarabangsa, mereka menganggap program Malaysia sebagai program asing tetapi dengan kualiti dan jalan cerita yang boleh diterima masyarakat negara itu, ia akan mendapat sambutan," jelasnya.

Sementara itu, dengan langkah Astro yang bergerak ke hadapan menawarkan pakej berdefinisi tinggi (HD) b.yond, Zainir berkata, kandungan tempatan juga perlu mengalami perubahan tersebut tetapi dilakukan secara berperingkat kerana kos yang diperlukan adalah sangat tinggi selain memerlukan perubahan ketara di semua peringkat produksi.

Selain itu, Astro Entertainment juga terus menawarkan pakej saluran kepada penonton Astro dan contoh terbaru adalah Astro Citra di bawah pakej Mustika yang merupakan saluran yang memberi fokus kepada filem tempatan.

''Melalui Astro Citra ia merupakan posisi unik menjadikan Astro sebagai platform bagi mencapai penonton lebih luas terutama menarik minat penonton untuk lebih menghargai filem tempatan.

''Sejak dilancarkan pada tahun lalu, kami berjaya menarik lebih 300,000 pelanggan. Ini menunjukkan penonton sanggup membayar untuk mendapatkan kandungan berkualiti,'' katanya.

Pada tahun ini, Astro Entertainment menetapkan sasaran sebanyak 400,000 hingga 600,000 pelanggan untuk pakej tersebut.

Melalui Astro Citra juga, ia dapat membantu industri perfileman tempatan untuk terus menghasilkan karya yang bermutu dan mendapat tempat di kalangan penonton mereka.

''Kami juga telah mengeluarkan drama bersiri 'Suatu Ketika' yang memberi pendekatan berbeza dengan menayangkan cerita berunsur sejarah dan telah diadaptasi menjadi dokumentari.

''Secara tidak langsung, drama bersiri ini akan menarik pengikutnya tersendiri di samping memberi pendedahan kepada penonton mengenai sejarah lampau,'' katanya.

Zainir berkata, dari segi kandungan filem pula, pihak Astro Entertainment sendiri akan berusaha meningkatkan penerbitan filem dengan sasaran lima hingga enam filem setahun.

No comments:

Post a Comment